Monday 16 April 2012

Mempermudahkan Maqasid Al-shari'ah (3)




Halaqah ke- 3 : Keterangan bagi tiga peringkat maqasid Al-shari'ah
Penulis : Dr Ahmad Al-raisouni
Penterjemah : Musmai _87 ( tekan sini untuk artikel asal )
Telah saya sebutkan pada halaqah yang lepas bahawa maqasid al-syariah yang kita sedang bicarakan ini , di dalamnya mempunyai tiga peringkat atau tiga pusingan. Ianya ialah :
1- Peringkat al-maqasid al-kulliat al-aamah
2- Peringkat al-maqasid al-khaasah
3- Peringkat al-maqasid al-juz'iyyah
Di bawah ini adalah keterangan bagi ketiga-tiga peringkat ini :
Peringkat pertama :
Iaitu peringkat al-maqasid al-kulliat al-aamah المقاصد الكليات العامة( objektif shari'ah yang umum )
Secara kasarnya al-maqasid al-aamah bagi syari'at ini tidak lari dari apa yang kita sebut sebelum ini iaitu : mengahasilkan kebaikkan ( jalbu al-masalih ). Sama ada ianya kebaikkan individu , masyarakat, atau kebaikkan yang bersifat kebendaan dan nilai , atau kebaikkan pada waktu sekarang dan akan datang, atau ianya kebaikkan zahir atau tersembunyi ,yang bersifat duniawi atau ukhrawi.Sudah sedia maklum bahawa mendatangkan kebaikkan ( jalbu- almasalih) akan membawa kepada terhindarnya keburukkan ( dar'u al-mafasid ) yang menjadi lawan kepada kebaikkan tersebut. Oleh itu , maka setiap kebaikkan yang diperolehi sudah pasti – pada sudut yang berlawanan- adanya keburukkan yang telah dielakkan. Jadi , inilah objektif syari'ah secara kasarnya.Kemudian ,adanya di bawah ruang lingkup objektif yang umum ini (jalbu al-masalih dan dar'u almafasid ) himpunan objektif yang utama .Di antara yang paling menyerlah adalah daruriat al-khams ضروريات الخمس ( lima tonggak yang tersangat penting ) yang mana kita akan perincikanya di masa yang akan datang .Lima tonggak itu adalah : agama ,jiwa,keturunan, akal dan harta.Adapun mengapa lima tonggak ini sahaja diketegorikan dalam maqasid kulliyat kerana pekara-pekara lain yang dikira sebagai masalih berada di bawah ruang lingkupnya , atau ianya adalah hasil dari lima tonggak itu , atau ianya berkhidmat untuknya.Kemudian selepas tunggak lima itu , adanya objektif-objektif umum yang lain , seperti mendirikan keadilan , memakmurkan bumi , memelihara keamanan dan keharmonian , penyucian jiwa , dan mengeluarkan mukallaf dari penguasaan hawa nafsu kepada kepatuhan kepada syara' dan akal.
Objektif shari'ah pada peringkat ini dinamakan sebagao al-maqasid al-aamah ( objektik-objektif umum) .Ianya adalah himpuna objektif yang sentiasa dipelihara dalam setiap lapangan syara' atau pada sebahagian besarnya.
Peringkat kedua :
Ianya adalah peringkat al-maqasid al-khaasah المقاصد الخاصة( objektif yang khas bagi setiap lapangan )
Apa yang dimaksudkan dengan al-maqasid al-khaasah adalah himpunan objektif yang dipelihara dan dijaga pada setiap lapangan syariat yang tertentu.Maka hukum hakam syara' pada lapangan itu terbina untuk memelihara objektif itu dan hukum hakam itu juga berputar sekitar proses merealisasikan objektif itu.Contohnya kita boleh katakan : objektif bagi lapangan ibadah adalah mengagungkan Sang Pencipta yang maha suci , menjalinkan hubungan yang konsisten di antara hamba dan Tuhannya , penyucian jiwa dan penyuburan hati …. Oleh itu hukum hakam bagi lapangan ibadah asas binaan dan fokusnya adalah merealisasikan objektif ini. Semacam itu lah kita boleh katakana bagi maqasid al-shari'ah dalam lapangan kekeluargaan , atau maqasid al-shari'ah dalam lapangan keewangan serta maqasid al-shari'ah dalam lapangan al-tabarru'at ( sprt : hadiah,pinjaman dll ) maqasid al-shari'ah dalam lapangan al-uqubat ( hudud ,qisas ta'zir ) , maqasid al-shari'ah dalam lapangan kenegaraan, maqasid al-shari'ah bagi lapangan adat taradisi masyarakat….. ( lihat bahagian yang ketiga dari kitab maqasid al-shari'ah al-islamiyyah oleh Muhammad al-tahir ibn 'ashur ). Kadang kala kita boleh kecilkan lapangannya, maka dengan itu kita berbicara tentang maqasid al-solah ( objektif solat ), maqasid al-zakah( objektif zakat ) , maqasid al-zawaj ( objektif perkahwinan ), maqasid al-jihad ( objektif jihad ),maqasid al-mawarith ( objektif harta pusaka)
Peringkat Ketiga
Ianya adalah peringkat al-maqasid al-juz'iyyah المقاصد الجزئية( objektif bagi setiap hukum syara')
Ianya adalah objektif tertentu bagi sesuatu hukum syar'i yang tertentu.Maka objektik –objektif bagi pekara-pekara furu' ini adalah tersendiri sifatnya, ia juga di antara pekara yang termasuk dalam maqasid al-shari'ah.Bahkan ia adalah asas yang pertama yang mana kita mampu mengetahui maqasid al-aamah dan maqasid al-khaasah melaluinya dengan menggunakan kaedah alistiqra' ( induktif )dan al-rabt ( gabungjalin )[1]
Satu hukum syara' kadangkala mempunyai satu objektif , seperti suruhan untuk kesaksian dalam semua jenis akad dan sebahagian urus niaga . Objektifnya adalah mewujudkan dokumentasi yang mampu untuk menghalang daripada berlakunya pergaduhan dan perbalahan . Seperti juga galakkan bagi si peminang supaya melihat orang yang dia ingin pinang , sama juga bagi orang yang dipinang digalakkan juga untuk melihat orang yang meminangnya. Tujuannya adalah untuk mewujudkan kecenderungan , keingginan dan persetujuan sebelum melaksanakan proses perkahwinan.
Kadangkala bagi satu hukum itu mempunyai objektif yang lebih dari satu. Seperti 'iddah wanita yang ditalakkan . Tujuannya adanya tempoh itu adalah untuk kepastian sama ada wujudnya kehamilan atau tidak, serta menyediakan tempat tinggal dan nafkah bagi wanita yang ditalakkan sepanjang tempoh iddahnya . Ianya juga bertujuan untuk membendung suami isteri dari mempermudahkan proses talak dan tergesa-gesa untuk melaksanakannya.Ianya juga : barangkali Allah ada ketentuan lain selepas tempoh itu , maka jadilah tempoh iddah itu peluang untuk berbincang dan berdamai di antara suami dan isteri.Seperti juga azan , ianya disyari'atkan untuk menyeru manusia untuk bersembahyang secara berjemaah dan untuk memberitahu masuknya waktu solat.Oleh sebab itu ianya dinamakan nida' ( seruan ) dan azan ( pemberitahuan )
Seperti juga pengharaman pekara yang memabukkan : ianya mempunyai pelbagai objektif , antaranya : menjaga akal , memelihara tubuh badan , menjaga harta , menjaga supaya tertunainya ibadat-ibadat dan kewajipan , dan mengelakkan rosaknya hubungan dan urus niaga. Jadi kesemua contoh-contoh itu tadi adalah al-maqasid al-juz'iyyah.
Sudah sedia maklum bahawa al-maqasid al-juz'iyyah sudah pasti berada di bawah ruang lingkup al-maqasid al-khaasah Dan kedua-duanya pula berada di bawah ruang lingkup al-maqasid al-aamah .Jadi al-maqasid al-khaasah tercipta dari al-maqasid al-juz'iyyah , dan al-maqasid al-aamah terbentuk dari al-maqasid al-khassah dan al-maqasid al-juz'iyyah bersama-sama.



[1] Al'istiqra' dalam ilmu ini ialah kaedah yang digunakan untuk menentukan maqasid umum dan khusus dengan melihat objektif-objektif setiap hukum hakam syara' satu persatu.Setiap objektif kecil itu yang mempunyai persamaan akan dikelasifikasikan mengikut kelompoknya tertentu ( gabungjalin ) Maka dengan gabungan objektif-objektif kecil yang sama sifatnya itu akan membentuk satu himpunan objektif yang lebih umum dan menyeluruh .Sebagai contoh ,apabila ahli usul melihat pada setiap hukum hakam dalam semua lapangan adanya nilai-nilai rukhsah (meringkan ) yang konsisten , seperti hukum qasar dalam lapangan solat, tayamum dalam lapangan taharah, keringanan untuk menjamah makanan yang haram ketika darurat , dan seumpamanya ,maka mereka membuat generalisasi bahawa antara objektif syari'at ini adalah raf'u al-harj رفع الحرج ( menolak bebanan) .Selain al-istiqra' asas bagi maqasid umum juga di ambil dari teks-teks syariah.( pntrjmh).

No comments: